Friday, July 3, 2009

Fakta Jenayah Di Putrajaya

WARGA PUTRAJAYA KURANG MUAFAKAT 14-MAR-2005




Indeks jenayah Putrajaya meningkat 108 peratus tahun lalu! Mungkin ramai tidak percaya peningkatan indeks jenayah lebih sekali ganda di pusat pentadbiran kerajaan yang menjadi kemegahan negara itu.

Tetapi, itulah hakikatnya. Indeks jenayah tahun lalu meningkat kepada 394 kes berbanding 189 kes pada 2003.

Peningkatan jenayah di sebuah pusat pentadbiran yang rata-rata warganya menikmati kemudahan bertaraf dunia, begitu menyedihkan dan menunjukkan seolah-olah warga Putrajaya 'kurang' semangat muafakat dan kejiranan.

Jika dianalisis kes jenayah yang dilaporkan, sebanyak 93 peratus atau 368 kes adalah jenayah harta benda iaitu pecah rumah dan curi termasuk di tapak projek. Hanya tujuh peratus atau 26 kes jenayah keganasan.

Sebenarnya, jenayah harta benda seperti curi dan pecah rumah bukanlah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Ia boleh dihindari sekiranya penduduk bekerjasama, bermuafakat dan tolong-menolong.

Walaupun kes yang dilaporkan membabaitkan kerugian kecil, sekadar kehilangan seringgit dua, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk masyarakat terutama ibu bapa bersikap 'tak apa'.

Bagi polis, walaupun seringgit dua yang hilang, ia tetap menjadi kes dan termasuk dalam indeks jenayah.

Kejadian sebegini perlu dibanteras pada peringkat awal bagi mengelak ia menjadi tidak terkawal pada masa depan.

Warga Putrajaya yang kini berjumlah kira-kira 52,000 orang tidak boleh mengharapkan kira-kira 400 pegawai dan anggota polis untuk menjaga setiap inci rumah dan harta mereka. Warga Putrajaya mesti mempunyai kesedaran menjaga harta masing-masing.

Sebagai langkah memupuk kesedaran warga Putrajaya ke arah berganding bahu membanteras jenayah, polis melancarkan Rakan Cop yang disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad di Alamanda Putrajaya, baru-baru ini.

Menerusi Rakan Cop, orang ramai boleh membantu membanteras jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada polis menerusi talian hotline 03-21159999 atau menghantar pesanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 32728.

Isa berkata, Jawatankuasa Keselamatan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikannya membuat keputusan melancarkan Rakan Cop di Putrajaya selepas mendapati peningkatan kes jenayah yang membimbangkan itu.

"Walaupun semua warga Putrajaya hidup selesa berbanding di tempat lain, masih ada segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab. Perkara ini perlu dibendung kerana kita tidak mahu kumpulan kecil itu mempengaruhi kumpulan yang besar.

"Sebab itu kita melancarkan Rakan Cop supaya semua penduduk bekerjasama dan menjadi 'mata dan telinga' kepada pihak berkuasa," katanya ketika melancarkan program itu.

Isa berkata, Rakan Cop adalah pelengkap kepada sebuah masyarakat yang aman dan harmoni serta pengantara untuk merapatkan jurang antara polis dan masyarakat.

Katanya, pendekatan yang dilaksanakan itu akan menggalakkan pembabitan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan swasta.

"Kejayaan Rakan Cop sudah pasti akan menjanjikan persekitaran yang lebih konduksif dan selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, SUPT Mohd Khalil Kadir Mohd, berkata pihaknya memang memerlukan sokongan dan maklumat daripada orang ramai bagi membanteras kegiatan jenayah di Putrajaya.

Sehubungan itu, katanya, polis akan mengadakan perjumpaan dengan 49 pengerusi persatuan penduduk bagi membincangkan lebih lanjut peranan yang boleh dimainkan orang ramai menerusi Rakan Cop.

"Walaupun kita tidak menetapkan sasaran bilangan ahli Rakan Cop, kita berharap masyarakat akan memberi kerjasama untuk menjaga kepentingan bersama," katanya sambil menambah bukan ahli juga boleh menyalurkan maklumat.

Sumber: Berita Harian , 7 Mac 2005

No comments:

Post a Comment